CARA ORDER

INFO BERGUNA

Menu

Friday, 7 August 2020

10 CARA MENAMBAH REZEKI & KEBERKATAN DALAM RUMAH TANGGA



Dalam Islam, terdapat beberapa konsep rezeki.
Ada rezeki yang perlu diusahakan,
Ada yang diberi percuma tanpa diminta,
Ada rezeki yang kita dah usaha, tapi akhirnya menjadi milik orang lain.

Umumnya jika kita membicarakan tentang rezeki,
kita akan terbayangkan wang yang banyak, rumah yang besar, kereta yang cantik, dan serba-serbi yang berkait dengan material.
Sebenarnya, rezeki itu tidak terhad setakat itu.
Ilmu, kesihatan, kelapangan masa, keluarga, kasih sayang, jodoh, zuriat, dan macam-macam lagi adalah rezeki.
Berada dalam circle ilmu yang saling berpesan-pesan ke arah kebaikan
dan meningati Allah juga rezeki

Sebagai hamba yang lemah, kita tentunya sentiasa mengharapkan rezeki daripada Pencipta.

Berikut adalah beberapa cara menambah rezeki yang dianjurkan dalam al-Quran dan sunnah.

1. MULA DARI SUMBERNYA✅

Jika kita sentiasa berasa ‘kurang’ walaupun gaji dah banyak, sila periksa semula sumbernya.
Adakah ia termasuk dengan sumber syubhah atau riba?
Allah telah menerangkan larangan memakan riba ini kerana ia adalah perbuatan menganiaya hak orang lain. Mungkin itu sebabnya rezeki terasa sempit atau walaupun kuantitinya banyak.

Firman Allah :

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba (dengan berlipat ganda) dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan.

(Surah Al-Imran: 130)

Di samping itu, jangan memandang remeh soal zakat sehingga lupa menunaikan tanggungjawab kita terhadap orang yang berhak terhadapnya. Dalam SOP 555 selalu sifu beri penekanan betapa pentingnya POWER OF ZAKAT ini.

2. MENJAGA HUBUNGAN KEKELUARGAAN DAN SESAMA MANUSIA✅

Walaupun sibuk bekerja siang dan malam, luangkanlah masa untuk berkasih sayang dengan pasangan dan anak-anak. Gembirakanlah mereka walaupun kita berada dalam keletihan. Jangan sampai tak ada masa menjenguk atau bertanya khabar kepada ayah, ibu, mertua, saudara-mara, dan jiran-tetangga. Didik pasangan dan anak-anak dengan ilmu mengenal diri, mengenal Tuhan.

Amalkan solat berjemaah bersama seisi keluarga walau 1 kali sehari sekalipun.
Amalkan mengaji bersama seisi keluarga walau 1x seminggu.
Keadaan isirumah sebegini akan dijaga oleh para malaikat.

Percayalah, tidak rugi kita bersilaturrahim dan menjaga hubungan sesama manusia kerana dalam sebuah hadis telah menyebutkan:

“Sesiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

3. BERSEDEKAH✅

Begitu banyak kelebihan sedekah yang sering kita dengar,
tak kiralah sama ada dari sudut Islam mahupun psikologi.
Menurut kajian, perbuatan memberi atau menyumbangkan harta, masa, tenaga, dan sebagainya kepada orang lain yang memerlukannya telah terbukti memberi manfaat besar terhadap manusia dari segi kesihatan mahupun emosi.

Dari Amru bin Auf ra katanya Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah swt pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Janganlah kita begitu ‘berkira’ dengan Allah kerana Allah mampu memberikan kita rezeki melalui sumber yang tidak disangka-sangka. Dalam satu syarahan, penulis Yasmin Mogahed pernah menyebutkan;

Jika kita kesempitan masa, sedekahkanlah masa kita untuk membantu ke jalan kebaikan.
Jika kita kekurangan wang, sedekahkanlah wang kita kepada yang lebih memerlukan, dan sebagainya.
Itulah formula rezeki yang amat berkesan.

Rasulullah SAW sendiri berpesan "Belillah semua kesulitanmu hidupmu dengan sedekah". Ini ertinya semua masalah boleh diselesaikan dengan sedekah.

Jangan lupa pula dengan ikhtiar dan keyakinan. Bezanya kalau sedekah tu, ikhtiarnya akan jauh lebih mudah.

4. MELAZIMI AL-QURAN✅

Allah telah menjanjikan keberkatan dunia dan akhirat kepada setiap orang Islam yang selalu meluangkan waktu untuk membaca Al-quran dan memahami isi kandungannya.

Ia adalah ayat-ayat dari Allah dan mukjizat yang teragung. Maka, rugilah sebenarnya jika kita tidak berusaha memahami isinya dan membaca ayatNya. Bacalah al-Quran setiap hari dan ajarkannya kepada anak-anak seawal usia. Anak-anak yang terdidik di awal usia dengan al-Quran, akan dilindungi oleh malaikat dan Allah jaga sepanjang dalam perjalanan hidupnya.

Seseungguhnya, rumah yang dibacakan al-Quran di dalamnya akan dipenuhi dengan berkat.

Firman Allah:

“Dan (al-Qur’an) ini adalah kitab yang Kami telah turunkan yang mengandungi berkat, mengesahkan kebenaran kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan supaya engkau memberi peringatan…”

(Surah al-An’am: 92)

5. SOLAT DHUHA✅

Dalam sibuk memfokuskan pada kerja-kerja seharian di pejabat, menjaga anak di rumah, menyediakan makanan tengahari, terdapat satu rahsia dalam membantu anda mencapai keberkatan di dalamnya, iaitu dengan mengerjakan solat dhuha. Paling sibuk sekalipuan, sekurang-kurangnya 4 rakaat sudah memadai. Maka Tuhan akan cukupkan masa utk sepanjang hari itu untuk kita.

Terdapat banyak kelebihan luar biasa bagi solat sunat dhuha yang disebutkan dalam hadis.

Memetik salah satu daripadanya, Allah berfirman:

“Wahai anak Adam, janganlah engkau luput dari empat rakaat di awal harimu (solat dhuha), nescaya Aku cukupkan untukmu di sepanjang hari itu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

6. ISTIGHFAR✅

Kalaulah dosa boleh ditayangkan pada kita selama kita hidup, mungkin ramai yang dah berputus asa kerana terlalu banyak berbuat dosa.

Tapi, penting untuk kita ingat bahawa Allah itu Maha Pengampun. Kita takkan mampu membayangkan betapa luasnya pengampunan Allah. Selagi mana kita memohon ampun kepadanya, ia tetap akan diampunkan walaupun dosa kita amat banyak, bak buih di lautan. Memohon ampun adalah perbuatan yang amat disukai oleh Allah. Malah, Allah turut menjanjikan kelapangan rezeki padanya seperti yang disebutkan dalam al-Quran:

“Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, – sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.”

(Surah Nuh: 10-12)

7. SOLAT TAHAJUD✅

Allah menjanjikan kemudahan bagi orang-orang yang dapat melakukan solat tahajud, iaitu solat sunat yang dilakukan di tengah malam. Antara salah satu kelebihannya, Allah akan memberikan jalan terang di dunia dan akhirat.

“Setiap malam Allah SWT turun ke langit dunia sampai tersisa sepertiga malam yang terakhir. Ia (Allah) pun berkata,” Adakah hamba-Ku yang meminta sehingga pasti Aku berikan apa yang dia minta? Adakah hamba-Ku yang berdoa hingga pasti Aku kabulkan doanya? Adakah hamba-Ku yang ber-istighfar sehingga Aku ampuni dosanya?”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

8. TAWAKAL✅

Jika kita sedang dilanda kesempitan, kuatkanlah pegangan kita kepada Allah. Jangan pernah kita berputus asa kerana di kala itulah peluang keemasan untuk syaitan ‘mencucuk jarum’.

Allah ada kan, mintaklah dengan dia
Iyyakana'budu wa iyya kanasta'in
(Hanya Engkaulah yang kami ibadahi dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan).
Tuhan akan tolong pada hamba yang sujud kepada DIA.

Sekalipun kita dah berusaha dan belum mendapat hasil yang diharapkan, percayalah bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Kta merancang, Allah juga merancang, sesungguhnya perancangan Allah itu Maha terbaik.

Seperti yang disebutkan dalam al-Quran (Ayat Seribu Dinar):

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah(dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikanya rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang di kehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

(Surah At-Talaq: Ayat 2-3)

9. BERDOA DENGAN LEBIH SPESIFIK✅

Berapa kenaikan gaji yang kita perlukan?
Berapa nilai hutang yang ingin dilangsaikan?
Berapa pendapatan bulanan yang kita inginkan..??
Bila datelinenya kita perlukan?
Apa matlamat utama kita perlukan?

Ceritakanlah masalah kita secara spesifik dengan Allah. Sesungguhnya Allah senang jika hambaNya menyedari diri mereka lemah dan amat bergantung kepada Allah, dan bukannya bos di pejabat, bukannya pada orang atasan, atau sesiapa saja. sebaik-baik doa untuk dimakbulkan adalah doa pada waktu tahajud. Bak kata Imam Syafie, Doa pada waktu tahajud adalah doa yang seumpama anak panah yang tidak lari daripada sasaran.

Mintalah pada Allah! Dialah Tuhan yang Maha Kaya dan mampu mengabulkan setiap permintaan hambaNya.

10. MENSYUKURI SEKECIL-KECIL NIKMAT✅

Setiap kecukupan bermula dengan kesyukuran.
Ringankanlah mulut kita itu untuk menyebut Alhamdulillah apabila menerima sesuatu yang menyenangkan.
Bukan ketika kenyang saja.

Syukur ini adalah gembira dalam apa jua keadaan sekalipun.
Senang pun syukur, susah pun syukur
Sihat pun syukur, sakit pun syukur dsb
Bangun tidur ucap Alhamdulillah, selamat sampai di pejabat ucap Alhamdulillah, suami pulang rumah ucap Alhamdulillah. Semua hal-hal ini terlihat kecil, tapi bayangkan jika ia tidak dapat dirasai lagi oleh kita selepas ini?

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

(Surah Ibrahim: 7)

BERSANGKA BAIKLAH KEPADA PEMBERI REZEKI✅

Allah telah menetapkan kurniaan rezeki setiap makhluknya yang melata di bumi ini, tidak terkecuali kita juga sebagai manusia. Oleh itu, bersyukurlah kita dan bersangka baiklah dengan setiap pemberian Allah. Sesungguhnya setiap kesenangan dan kesusahan, kedua-duanya adalah ujian.

Mudah-mudahan dengan semua amalan ini, bukan saja urusan dunia kita dipermudahkan, tetapi juga urusan di akhirat.

Reactions:

0 comments:

Post a comment