Wednesday, 14 June 2017

Kata-kata Ibarat Satu Doa

Salam Sejahtera



Alhamdulillah. Anda dah ucap syukur atau belum atas pinjaman nafas untuk hari ini? Anda dah ucap syukur atau belum atas pinjaman kesihatan dan rezeki hari ini?

Ucap dan lafazkan syukur anda kerana ia akan menarik lebih banyak lagi rezeki pada anda.

Kata-kata ibarat satu doa. Lagi banyak kali anda ulang, lagi tinggi peluang makbul. Doa itulah kata-kata yang anda pinta. Jadi kenapa bazirkan peluang makbul doa dengan ucapan kata-kata yang tidak enak?

Ingat dulu orang tua tua pesan jangan panggil orang lain dengan kata yang buruk. Jangan panggil nama yang tak elok. Sebab bila disebut berulang kali, ia akan jadi buruk.

Ingat lagi pesan seorang guru. Kalau kita nakkan sesuatu, kita cakap dan doa banyak kali. Supaya Allah dengar. Supaya Dia makbulkan. Dan supaya minda kita terprogram untuk dapatkan apa yang kita hajatkan. Selalu ucap syukur bila dapat sesuatu dan syukur juga jika tak dapat kerana Allah itu tahu apa yang baik untuk hambanya.

Jika anda sering kata “Aku tak mampu. Aku tak ada duit.” Hari-hari anda ucap, hari-hari anda sebut, itulah yang akan anda dapat. Minda anda akan down. Aura anda akan negatif. Dan sudahnya memang anda dapat apa yang anda minta itu, tak mampu dan tak berduit.

Kenapa tak anda tukar frasa tadi dengan “Aku mampu. Aku boleh. Aku kaya.” Dan ulang berkali-kali sehari. Ulang dan ulang. Anda akan dapati ia menjadi kenyataan sedikit demi sedikit. Tak percaya? Cuba. Cuba saja. Tak rugi cuba benda baik.

Kenapa harus kata yang baik-baik? Kita tak tahu bila waktu dan detik sebenar kata-kata kita mustajab dan didoakan malaikat. Anda tahu? Tidak bukan. Anda cuma diberitahu keadaan atau possibility saja. Jadi kenapa biarkan waktu berharga dengan perkataan yang bukan-bukan?

Dulu di zaman kanak-kanak, mak ayah selalu larang, jangan cakap ‘bodoh’, ‘sial’, ‘tak guna’ dan macam-macam lagi. Sebab bukan saja kerana kata-kata itu doa, tapi kata-kata juga cerminan jiwa dan akhlak diri. Kata-kata anda sangat berkuasa membentuk dan menentukan siapa diri anda.

Kata-kata yang diulang akan diset oleh minda. Diprogram dan dihafal. Kalau pandai, pandailah. Kalau bodoh, kuranglah cerdiknya.

Kata-kata ibu bapa lagilah teramat besar darjatnya pada anak-anak. Jika anda sudah bergelar ibu bapa, awasi kata-kata anda. Jangan menyesal di kemudian hari. Ulanglah perkataan yang baik-baik jika berbicara dengan anak-anak. Emosi mereka, amat bergantung pada ucapan anda.

Jika anda masih punya ibu bapa, awasi juga tutur bicara. Sekali tersinggung hati mereka, merana hidup anda, bagaimana pula?

Bersama sahabat, guru, malah orang asing sekalipun, kata-kata anda seharusnya yang baik-baik saja. Jika pakaian litup, wajah tampan tapi perkataannya buruk, tetap juga buruk pada pandangan.

Pokoknya setiap kata yang terkeluar dari mulut kita harus dipilih dengan hati-hati. Fikir sebelum cakap. Fikir sebelum bertindak. Kata-kata itu satu doa yang melantun. Baik yang diucap, baik yang akan kembali.

Renung-renungkan.

Reactions:

0 comments:

Post a Comment