Labels

CARA ORDER

INFO BERGUNA

Menu

Wednesday, 17 May 2017

4 Tips Pengurusan Masa Yang Terbaik

Salam Sejahtera



Masa umpama air sungai yang sedang mengalir. Apabila kita memijak air pada kali pertama, pasti kita tidak akan memijak air yang kedua. Air yang dipijak buat kali pertama tadi akan terus berlalu dan tidak akan kembali lagi!
Melalui surah Al-Asr pula, Allah SWT telah menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara penting dalam pengurusan masa yang baik.

Pertama

Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh kepada terhadap Allah dan apa yang disyariatkan oleh-Nya. Ini bermakna, kita perlulah mempunyai aqidah yang kukuh hanya kepada pencipta abadi kita, iaitu Allah SWT.
Oleh itu, jangan sesekali kita mensyirikkan Dia dengan makhluk lain. Hanya Dia Maha Berkuasa di atas muka bumi ini.

Kedua

Melaksanakan amal soleh. Melaksanakan amal soleh ini bukan sekadar solat, berpuasa, berzikir dan bermacam lagi, tetapi meliputi semua amalan soleh di dalam Islam.
Contohnya seperti berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, mengeratkan hubungan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.
Oleh itu, marilah kita menyahut seruan melaksanakan amal soleh untuk mengisi masa kita dengan sebaiknya tanpa merugikan satu saat masa yang ada. Ayuh!

Ketiga

Berpesan-pesan kepada kebenaran. Ini bermaksud, dengan memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.
Kita seharusnya sentiasa memberi nasihat kepada orang lain untuk melakukan kebaikan dalam kehidupan seharian supaya disukai oleh Allah SWT. Kita juga boleh memberi teguran kepada orang lain dalam usaha untuk memperbaiki diri kita.
Namun begitu, sebelum kita memberi teguran dan tunjuk ajar kepada orang lain, pastikan diri kita menjadi contoh teladan yang baik supaya diri kita dipercayai oleh mereka!

Keempat

Berpesan-pesan kepada kesabaran. Perkara ini menyuruh kita memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah dan larangan Allah SWT.
Apabila kita sabar dalam mengharungi dugaan ujian dalam hidup kita, kita akan sentiasa dalam jagaan-Nya. Ini kerana, setiap ujian dari-Nya tanda sayang Dia kepada kita.
“ Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “innalillahi wa inna ilaihi rajiun” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan rahmat dari Tuhan-Nya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Baqarah 2:156-157)

Demi masa! Jika diteliti empat perkara ini, adakah kita melaksanakannya dengan setiap detik masa yang ada?
Pernah terfikir, mengapakah Allah SWT bersumpah dengan masa walaupun tuntutan-tuntutan yang disebut-Nya selepas sumpahan tersebut amat sukar untuk dicapai kerana keterbatasan masa?
Imam As-Syafie berkata :

“Seandainya manusia benar-benar memahami surah ini, nescaya surah ini mencukupi bagi mereka.”

Allah SWT mengaitkan surah ini dengan masa dan ini bererti masa merupakan faktor utama dalam menentukan sama ada keempat-empat tuntutan tersebut berjaya dicapai oleh kita atau tidak.
Dalam erti kata lain, sesiapa yang memiliki pengurusan masa yang efisyen, dialah yang akan mampu mencapai tuntutan-tuntutan tersebut sehingga akhirnya menjadi orang yang paling beruntung.
Ironinya pula terhadap sesiapa yang tidak memiliki pengurusan masa yang efisyen, dialah yang akan gagal sehingga akhirnya menjadi orang yang paling rugi.
Tepuk dada, tanya iman! Kita mahu menjadi orang beruntung atau orang yang rugi? Jawapan ada dalam tangan kita. Ini kerana kitalah yang menguasai diri kita sendiri.
Andai kita sebagai nahkoda gagal mengawal masa kita dengan baik, maka kita akan gagal dalam setiap saat masa yang berdetik pada setiap hari.
Setiap detik masa yang diinfakkan untuk melakukan kebaikan, akan memperoleh redha daripada Allah SWT. Ingatlah!
Saidina Ali ada berkata:

“ Masa itu ibarat sebilah pedang, jika kamu tidak memancungnya, nescaya ia akan memancungmu.”

Terdapat manusia yang tidak tahu menghargai masa dan selalu menghabiskan setiap detik yang ada dengan hiburan dunia dengan melakukan perkara yang menggembirakan hati mereka.
Hak kepada Allah? Tidak peduli langsung!
Ada juga manusia yang mampu menggunakan masa dengan baik pada mulanya tetapi tidak kekal lama. Akhirnya kembali dengan meneruskan tabiat yang lama. Persoalannya, mengapakah perkara ini terjadi lagi?
“ Iman itu kadang naik kadang turun, maka perbaharuilah iman kalian dengan la ilaha illallah.”

( Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Inilah antara sebab mengapa manusia seringkali lalai dengan pengurusan masa mereka sendiri. Iman itu kadang kala ada turun dan naiknya, tidak tetap.
Perkara inilah yang perlu kita akui sebagai makhluk yang lemah di hadapan-Nya. Sujudlah kepada-Nya memohon keampunan dan bertaubat!

0 comments:

Post a Comment