Salam Sejahtera
Ramadhan telah berlalu dan kini Syawal telah tiba. Namun
tarbiyah Ramadhan diikuti tarbiyah Syawal juga tarbiyah bulan-bulan lain
semuanya dan berkesinambungan dengan ketaatan dan ibadah merupakan bukti
penerimaan Ramadhan. Ini kerana Rasul saw bersabda:
“ Sesungguhnya setiap amalan perlu aktif dan setiap
keaktifan adakalanya berlaku saat kemerosotan. Justeru barangsiapa semasa saat
kemerosotannya kembali kepada sunnahku, maka dia memperolehi petunjuk tetapi
barangsiapa semasa saat itu kembali kepada yang lainnya, maka ia pasti akan
sesat”.
Wahai orang yang Allah berikan taufik kepadanya di bulan
Ramadhan. Janganlah anda kembali kepada dosa-dosa yang anda lakukan sebelum
Ramadhan seperti amalan mengumpat, mencerca, menipu, khianat dan
sebagainya..kerana anda telah merasai kemanisan air mata dan kelazatan munajat
yang merupakan saat yang paling bahagia bagi para hamba. Oleh itu janganlah
anda tinggalkan kebahagiaan yang telah dinikmati itu. Begitu juga amalan qiam,
puasa, sedekah, tilawah al-Quran dan zikir.
Puasa sunat di bulan Syawal selepas Ramadhan adalah di antara peluang terbaik
kerana orang yang berpuasa masih berada pada ketaatan dan ibadah yang lain
setelah selesai puasa Ramadhan.
Nabi saw telah menyatakan kepada umatnya tentang kelebihan puasa enam Syawal
dan mendorong mereka dengan menggunakan teknik galakan supaya melaksanakan
puasa 6 hari ini..sabda nabi saw:
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti puasa
enam hari di bulan Syawal, maka ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun”.
(Muslim dan lainnya)
Menurut Imam Nawawi: Para ulamak menyatakan: “Ganjarannya
seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10
gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6
hari seumpama puasa dua bulan”.
Ibn Rejab menukilkan dari Ibn Mubarak katanya: Bagi yang berpuasa 6 Syawal
secara berkesinambungan selepas puasa Ramadhan, maka dia wajib memperolehi
pahala puasa sepanjang tahun.
Jikalau tanda penerimaan sesuatu ibadah ialah kecenderungan melakukan ibadah
seterusnya, maka puasa 6 Syawal selepas Ramadhan adalah bukti kesyukuran orang
berpuasa kepada Allah kerana memberi taufik kepada puasa Ramadhan dan
menambahkan kebaikan, sepertimana puasanya sebagai bukti kecintaan kepada
ibadah dan ketaatan dan kecenderungan untuk meneruskan jalan ibadah. Bahkan ia
seakan-akan suatu perjanjian dengan Allah untuk bersungguh-sungguh beribadah
dan melaksanakan ketaatan kerana ia tidak mahu hanya beribadah kepada Allah di
bulan Ramadhan dan meninggalkan ibadah selepas Ramadhan.
Al-Hafiz Ibn Rejab al-Hanbali berkata: “Orang yang menggantikan nikmat taufik
puasa di bulan Ramadhan dengan melakukan maksiat selepasnya, maka sebenarnya
dia seperti orang menukarkan nikmat Allah dengan kekufuran. Ada yang mengatakan
kepada Bisyr al-Hafiy: Suatu kaum yang beribadah dan bersungguh-sungguh di
bulan Ramadhan. Lalu Bisyr berkata: Seburuk-buruk suatu kaum ialah yang tidak
mengenali Allah dengan sebenarnya kecuali di bulan Ramadhan sebaliknya orang
soleh sentiasa beribadah dan bersungguh-sungguh sepanjang tahun”.
Di antara hikmat puasa 6 Syawal
1. Puasa 6 Syawal selepas Ramadhan menyempurnakan pahala
puasa sepanjang tahun bagi seorang muslim.
2. Puasa di bulan Syawal dan Syaaban sama seperti solat sunat dan solat rawatib
sebelum atau selepas solat fardu yang berfungsi menampung segala kekurangan dan
kecacatan dalam ibadah fardu, kerana ibadah fardu disempurnakan oleh ibadah
nawafil di hari Kiamat. Bahkan ramai orang yang puasanya terdapat kekurangan
dan kecacatan, maka ia perlukan amalan yang dapat menampung atau melengkapkan
kekurangan itu.
3. Puasa Ramadhan mewajibkan seseorang memperolehi keampunan daripada dosa-dosa
yang terdahulu. Oleh itu kembali berpuasa selepas Eidul Fitri sebagai tanda
syukur kepada nikmat ini kerana tiada nikmat yang lebih besar daripada
keampunan daripada dosa.
Allah telah memerintahkan hambaNya supaya mensyukuri nikmat puasa Ramadhan
dengan sentiasa mengingatiNya, berzikir dan bermacam-macam cara bersyukur yang
lain. Firman Allah:
“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah
kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu
bersyukur” (Al-Baqarah: 185)
Justeru tanda kesyukuran hamba kepada Allah di atas
taufikNya dengan puasa Ramadhan, pertolongan dan keampunan daripada dosa ialah
melaksanakan ibadah puasa sunat seterusnya.
4. Amalan-amalan yang mendekatkan seorang hamba dengan Allah pada bulan
Ramadhan tidak terhenti dengan berlalunya Ramadhan, bahkan masih kekal selagi
hamba itu hidup. Oleh itu berpuasa selepas Eidul Fitri menunjukkan kembalinya
kepada keinginan untuk berpuasa. Baginya puasa tidak menjemukan dan
membebankannya.
Permasalahan berkaitan puasa 6 Syawal
-Setengah orang berpendapat bahawa jika tahun ini mereka berpuasa 6 Syawal,
maka mereka mesti berpuasa 6 Syawal pada setiap tahun. Pendapat ini tidak betul
kerana ibadah ini adalah pilihan semata-mata sama ada mahu berpuasa tahun ini
atau tidak pada tahun berikutnya. Bukanlah wajib berpuasa setiap tahun.
Marilah kita mengingati firman Allah:
“Dan bersegralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga
yang luasnya langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa ”.
(Ali-Imran:133)
-Setengah orang berpendapat bila seseorang telah mula berpuasa 6 hari di bulan
Syawal maka ia mestilah menyelesaikannya sekaligus dan tidak boleh berhenti
atau terputus sehari atau dua hari sama ada atas sesuatu sebab atau sakit semsa
puasa. Pendapat ini tidak betul kerana orang yang melakukan amalan sunat berhak
ke atas dirinya. Ia boleh memutuskan puasanya pada bila-bila masa yang dia mahu
berdasarkan sabda nabi saw:
الصائم
المتطوع أمير نفسه، إن
شاء صام وإن شاء
أفطر
“Orang yang berpuasa sunat adalah ketua (berhak) ke atas
dirinya dia boleh memilih sama ada mahu berpuasa atau berbuka (tidak
berpuasa)”. (Tirmizi)
-Bagi orang yang mahu berpuasa 6 Syawal sepatutnya memulakan
niat puasa pada malamnya, kerana puasa pada hari-hari yang khusus pada waktu
yang terbatas mempunyai ganjaran yang khusus dan tidak sama seperti puasa sunat
mutlak.
-Bagi sesiapa yang tertinggal puasa beberapa hari di bulan Ramadhan, maka ia
mestilah mengqada’nya (menggantikannya) dahulu, kemudian barulah berpuasa 6 Syawal
kerana puasa Ramadhan adalah ibadah fardu dan puasa 6 Syawal adalah sunat
sahaja berdasarkan zahir hadith:
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan
puasa 6 hari di bulan Syawal..”. (Hadith)
Namun masalah ini tidak terlepas daripada perbezaan pendapat
ulamak.
-Disunatkan bersegera melaksanakan puasa 6 Syawal yang dimulakan pada hari
kedua Syawal, tetapi tidak menjadi masalah jika melewatkan pada pertengahan
bulan atau penghujung bulan.
-Puasa Ramadhan yang diikuti puasa 6 hari di bulan Syawal ganjarannya menyamai
puasa sepanjang tahun kerana satu hasanah menyamai 10 gandaan berdasarkan
hadith Thuban r.a dari nabi saw yang bersabda:
“Puasa Ramadhan pahalanya menyamai sepuluh bulan. Puasa enam
hari di bulan Syawal pahalanya menyamai dua bulan. Dengan itu seolah-olah puasa
sepanjang tahun”. (Ahmad dan Ibn Hibban)
0 comments:
Post a Comment