Salam Sejahtera
Kehadiran anak memang sangat dinantikan oleh setiap yang
bergelar ibu bapa. Anak adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT
kepada ibu bapa.
Corak pendidikan dan membesarkan anak terletak di tangan ibu bapa. Maka
coraklah anak dengan akhlak yang terbaik supaya dia membesar sebagai anak yang
bukan sekadar cemerlang dan berjaya dalam kehidupan tetapi menjadi insan yang
berperibadi mulia.
Mempunyai anak lelaki menjadi idaman semua ibu bapa yang sudah memiliki anak
perempuan. Mendidik anak lelaki perlu ada pendekatan berbeza dengan anak
perempuan.
Hari ini banyak kes viral yang kita baca tentang betapa rapuhnya peribadi dan
akhlak seorang lelaki. Seolah-olah insan berjantina lelaki ini sudah tidak
layak menjadi pemimpin kepada para wanita (tetapi bukan semua lelaki).
Maka sudah tiba masanya, ibu bapa perlu menekankan beberapa perkara apabila
mendidik anak lelaki. Tujuannya supaya anak lelaki tersebut bakal menjadi
pemimpin yang amanah, suami yang penyayang, abang yang melindungi dan anak yang
menghormati orang tua.
1. Respek Orang Perempuan
Bila ada anak lelaki, selalu ingatkan dia tentang perbezaan dirinya dengan ibu
dan kakak (jika ada) atau adik perempuan. Ajar anak untuk menghormati dan
menghargai golongan wanita. Katakan yang wanita adalah golongan yang lembut dan
perlu disayangi bukan dikasari. Elakkan anak lelaki daripada bermain kasar
seperti berlawan dan sebagainya dengan anak perempuan.
Jangan lupa beritahu anak lelaki yang mereka bertanggungjawab untuk melindungi
ibu, kakak dan adik perempuan jika ketiadaan ayah. Sekurang-kurangnya dengan
cara ini dia tahu tentang tanggungjawabnya sebagai anak lelaki.
Apabila anak lelaki diajar menghormati orang perempuan maka mereka tidak akan
sewenang-wenangnya menyakiti golongan tersebut. Barulah mereka akan membesar
sebagai lelaki sejati yang bertanggungjawab dan tidak sampai hati menyakiti
orang perempuan.
2. Ajar Buat Kerja Rumah
Biasakan anak lelaki turut membantu membuat kerja rumah. Bukan anak perempuan
sahaja yang perlu ditekankan tentang tanggungjawab membantu kerja rumah.
Tak salah pun kalau mengajar anak lelaki membantu membasuh
pinggan, menyidai pakaian, menyapu lantai, menjaga adik dan sebagainya lagi
tugas rumah tangga. Cuba lari daripada tipikal orang lelaki tak perlu buat
kerja rumah. Mungkin di zaman dahulu orang lelaki sudah dimanjakan tak perlu
membantu ibu membuat kerja rumah sehinggakan pinggan makan pun ibu yang angkat
dan basuhkan.
Hasilnya apabila mereka bergelar suami, jadilah suami yang langsung tidak mahu
membantu isteri. Maka, kita perlu lari daripada tipikal tersebut. Didiklah anak
lelaki untuk menjadi bakal suami yang tidak kekok membantu isteri di rumah.
3. Ringan Tulang
Bukan senang hendak menjadi orang yang suka membantu orang lain tanpa disuruh.
Didiklah anak lelaki anda untuk menjadi lelaki yang ringan tulang. Didikan
perlu dimulakan sejak mereka kecil lagi di rumah.
Sentiasa ingatkan mereka untuk rajin membantu ibu dan ayah
membuat sebarang kerja di rumah tanpa disuruh. Bahkan ajar juga mereka untuk
rajin membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan tanpa mengira di mana
mereka berada.
4. Jadi Seorang Ketua
Anak lelaki adalah bakal ketua. Jangan hanya membayangkan ketua sebuah
organisasi atau negara tetapi anak lelaki adalah bakal ketua sebuah rumah
tangga. Ketua yang bakal memimpin isteri dan anak-anak di masa hadapan.
Maka, asuhlah mereka menjadi ketua yang
bertanggungjawab dan amanah. Hari ini ramai lelaki yang bergelar ketua keluarga
menjadi ketua yang mengabaikan tanggungjawab dan tidak amanah menjaga isteri
dan anak-anak yang menjadi tanggungan mereka.
Beritahu anak lelaki anda tentang perkara ini. Sentiasa
ingatkan mereka tentang tanggungjawab seorang ketua!
5. Belajar Susah
Walaupun anda kaya dan berkemampuan menyediakan segala kemewahan untuk anak, simpanlah
ia sedikit untuk perkara lain. Tahukah anda, anak-anak yang terlalu dimanjakan
dengan kemewahan hanya akan membesar sebagai anak yang lembik, tidak berdikari
dan mungkin juga pemalas!
Tentu anda tidak mahu anak anda terutama anak lelaki masuk
dalam golongan tersebut. Ajarkan mereka bagaimana anda berjuang dan berusaha
untuk mendapatkan apa yang anda miliki hari ini. Maka mereka perlu juga
berusaha dengan usaha sendiri untuk mencipta kejayaan di masa hadapan.
Semoga usaha tersebut mampu mendidik anak lelaki menjadi
lelaki sejati yang bertanggungjawab dan takut dengan balasan daripada Allah SWT
jika mereka tidak amanah.
0 comments:
Post a Comment