Salam Sejahtera .....
Bagaimana untuk kita lengkapkan rutin denngan berzikir .
Bangun tidur seawal jam 5 pagi, solat tahajud, siapkan sarapan pagi dan bekalan anak untuk ke sekolah. Periksa keperluan anak-anak. Hantar anak ke sekolah.
Balik rumah siapkan kerja-kerja rumah, masak makan tengahari. Ambil anak dari sekolah, solat zuhur, hantar anak ke sekolah agama. Balik rumah, angkat kain baju dan lipat, siapkan makan malam, solat asar, ambil anak dari sekolah.
Uruskan anak-anak di rumah, solat maghrib, ajar anak mengaji al-Quran, makan malam, mengemas rumah, bantu anak-anak buat kerja sekolah, solat isyak, masuk tidur.
Mata ibu akan terus terpejam saat kepala diletakkan di atas bantal. Anda berjanji kepada diri sendiri untuk berzikir tetapi mata terlelap sebelum sempat berzikir mengingati Allah.
Ini adalah rutin harian biasa seorang ibu yang tidak bekerja dan mempunyai anak-anak yang sudah bersekolah. Bagi yang bekerja pula rutinnya sama sibuk menguruskan keluarga dan rumah tangga sebaik sudah berada di rumah. Seolah-olah ibu tiada langsung masa 'seminit' untuk diri sendiri apatah lagi untuk melakukan lebih banyak amal ibadat. Ia kadang kala membuatkan ibu rasa bersalah.
Sebetulnya ibu juga sedang melakukan satu ibadat apabila dia menguruskan segala keperluan anak-anak, suami dan rumah tangga. Berdoalah kepada Allah SWT agar mengurniakan balasan pahala atas setiap titisan peluh yang mengalir dan setiap keletihan yang dirasakan.
Niatkan segala apa yang dilakukan itu kerana Allah SWT dan bukan kerana terpaksa atas dasar tanggungjawab sebagai ibu. Semoga segala kepenatan dan keletihan yang dirasakan mendapat balasan syurga dari Allah SWT.
Walaupun sibuk seperti lipas kudung ia bukan alasan untuk supermom melupakan amalan membasahkan lidah dengan berzikir. Kita selalu fokus kepada memenuhi keperluan kesihatan badan dan melupakan keperluan jiwa.
Jangan lupakan makanan rohani kerana ia sama penting untuk menguatkan jiwa dan minda kita apatah lagi dalam masa yang sama kita bertanggungjawab untuk mendidik anak-anak. Tujuan melakukan amalan zikir mengingati Allah adalah untuk membersihkan hati dan jiwa serta menyedarkan suara hati kita sebagai manusia.
Apabila hati dalam keadaan tenang, kita mudah untuk berfungsi dengan baik. Kita akan merasa produktif dan proaktif. Kita akan sentiasa rasa bersyukur dengan apa sahaja yang ada pada kita.
Bagaimana hendak jadikan zikir sebagai satu amalan rutin setiap masa? Tiada alasan sibuk atau tak cukup masa. Inilah jawapannya.
1. Sentiasa Berdoa dan Mengingati Bantuan Allah
Sentiasa banyakkan doa, terutama selepas setiap solat fardu supaya sentiasa dilimpahi berkat dariNYA. Peruntukkan sekurang-kurangnya lima belas minit daripada 24 jam setiap hari untuk merenung dan muhasabah diri serta mengingatkan diri atas bantuan dariNYA ke atas anda.
Cuba tanamkan rasa kesyukuran dan terhutang budi dalam hati anda. Masa terbaik melakukan perkara ini adalah selepas solat fardu kerana ketika itu kita berada dalam mood beribadat. Cara ini membantu anda mempraktiskan zikir hati (mengingati Allah dengan menggunakan hati).
2. Solat dan Membaca al-Quran
Salah satu daripada zikir lisan (menginati Allah secara verbal) adalah bersolat. Didik diri untuk sentiasa solat tepat pada waktunya dan penuh kekhusyukkan. Anda boleh merancang tugas-tugas rumah tangga dengan pembahagian mengikut waktu solat.
Contohnya, anda boleh rancang menyiapkan tugas memasak dan membersihh 15 init sebelum solat Zuhur jadi anda boleh bersiap fizikal dan mental untuk bersolat sebelum azan berkumandang. Solat adalah satu cara berkesan untuk menghapuskan rasa tertekan dan kebimbangan yang dialami. Serahkan diri anda bulat-bulat kepada Sang Pencipta.
Pernahkan anda berasa tidak tenang jika sehari tertinggal membaca al-Quran? Bersyukurlah kerana itu tandanya Allah mengurniakan hidayah kepada diri anda. Sesungguhnya amalan membaca al-Quran dengan konsisten setiap hari banyak membantu anda menjadi insan yang redha, sabar, berserah diri kepadaNYA dalam segala hal.
Peruntukkan sedikit masa untuk membaca al-Quran setiap hari. Contohnya, sebelum solat Subuh (ketika anak kecil anda belum bangun) atau selepas solat fardu. Jika yang bekerja, mungkin boleh mulakan dengan menggunakan aplikasi al-Quran dalam telefon pintar anda. Mulakan dengan sedikit dahulu tetapi jadikan amalan harian. Insha Allah anda akan terus meningkatkan bacaan setiap hari.
3. Berzikir Ketika Buat Rutin Kerja
Siapa kata ibu bekerja atau ibu sibuk buat kerja rumah tidak boleh bezikir? Biasakan lidah anda untuk berzikir ketika sedang membuat kerja sama ada di rumah atau di pejabat. Contohnya sambil memasak, membasuh pinggan atau menaip di depan PC ketika di pejabat, anda boleh berzikir.
Untuk memudahkan, anda boleh pilih zikir spesifik ketika sedang sibuk bekerja. Misalnya, anda boleh tulis "subhanAllahi wa bihamdihi" di atas 'post-it note' dan tampalkan di kabinet dapur atau di depan PC sebagai peringatan untuk membacanya ketika memasak atau menaip.
4. Kerap Dengar Zikir Dengan Anak & Manfaatkan Teknologi
Manfaatkan penggunaan teknologi yang anda miliki dengan memuat naik alunan zikir di tablet, telefon pintar dan CD. Anda boleh dengar bersama-sama si kecil ketika sedang bersantai dengannya di masa lapang, sebelum tidur atau semasa memandu kereta bersama anak-anak. Biasakan mereka dengan alunan zikir agar ia akan menjadi amalan di bibir mereka kelak.
5. Mengingati Allah Dalam Pertemuan Dengan Kawan
Semasa pertemuan dengan kawan-kawan untuk minum kopi sambil berkongsi pengalaman dan bertukar tip menguruskan keluarga, anda boleh memperuntukkan sedikit masa untuk berbincang tentang mengingati Allah. Sekurang-kurangnya pertemuan anda ada faedahnya serta diberkati oleh Allah SWT berbanding hanya bercakap kosong dan mengata orang.
6. Zikir Bersama Keluarga
Pilih satu hari dalam seminggu untuk anda sekeluarga berzikir bersama-sama. Mungkin dalam sesi tersebut, suami boleh berkongsi sebarang cerita/kisah yang ada dalam al-Quran, kisah sahabat Nabi atau apa sahaja yang membawa manfaat kepada ahli keluarga.
Mungkin bagi yang ada anak kecil boleh buat aktiviti menyeronokkan seperti membuat kraf. Membuat kad ucapan untuk hari lahir kawan-kawannya dengan menulis zikir "Alhamdulillah SubhanAllah, Allahu AKhbar". Ia membantu anak anda mengaitkan zikir dengan sesuatu yang menyeronokkan dan pembacaan lisan membantu mereka mengingati Allah bila-bila masa.
Menjadi ibu yang sibuk bukan bermakna tiada masa untuk kita mengingati Allah kerana apabila kita sentiasa mengingatiNYA, sebenarnya kita mendidik diri lebih berdisiplin, bersabar, bertenang dan redha. Semoga dengan rajin berzikir, anda mampu menjadi Muslimah sejati dan ibu yang produktif. Insha Allah!
0 comments:
Post a Comment